Charon Wardini Pengarah Eksekutif Baru Khazanah
Isnin, 23 September 2013
KUALA LUMPUR – Datuk Charon Wardini Mokhzani dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Pejabat Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berkuatkuasa 6 November 2013.
Khazanah dalam satu kenyataan media memberitahu, Charon Wardini pada waktu ini merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pelaburan dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Berhad.
“Beliau menyertai CIMB pada Ogos 2004 setelah berkhidmat sebagai Rakan Kongsi di firma undang-undang, Zaid Ibrahim and Co.
“Beliau pernah berkecimpung dalam bidang undang-undang, kewangan korporat dan perbankan pelaburan sepanjang kerjaya beliau yang menjangkau kira-kira 23 tahun,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, Charon Wardini menerima pendidikan dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi di Balliol College, University of Oxford dan juga dalam bidang Undang-Undang di School of Oriental and African Studies, University of London.
Khazanah dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada Dr. Nungsari Radhi iaitu bekas Pengarah Eksekutif Bahagian Penyelidikan dan Strategi Pelaburan Khazanah yang dilantik sebagai Pengarah Urusan Prokhas Sdn. Bhd. – mynewshub.my