Khazanah lantik Charon Wardini sebagai pengarah eksekutif baru
Isnin, 23 Sep 2013
Khazanah Nasional Berhad hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Charon Wardini Mokhzani sebagai pengarah eksekutif dan Pengarah Urusan Khazanah berkuatkuasa 6 November tahun ini.
Eksekutif Media, Danial Idraki, berkata Charon menyertai Khazanah dari Kumpulan CIMB, yang mana beliau kini merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pelaburan dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Berhad.
“Charon menyertai CIMB pada Ogos 2004 setelah berkhidmat sebagai rakan kongsi di firma undang-undang, Zaid Ibrahim dan Co. Beliau juga pernah berkecimpung dalam bidang undang- undang, kewangan korporat dan perbankan pelaburan sepanjang kerjaya beliau yang menjangkau kira-kira 23 tahun.
“Beliau menerima pendidikan dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Kolej Balliol, Universiti Oxford dan juga dalam bidang Undang-Undang dari Sekolah Kajian Oriental dan Afrika, Universiti London.
Dr Nungsari telah menyandang jawatan Pengarah Pengarah Urusan Prokhas Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang diperbadankan pada 1 September 2013.
“Khazanah juga ingin merakamkan penghargaan kepada bekas Pengarah Eksekutif Bahagian Penyelidikan dan Strategi Pelaburan Khazanah Dr Nungsari Radhi yang telah dilantik sebagai Eksekutif bahagian tersebut sejak Februari 2007,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
The Malaysian Insider melaporkan pada Sabtu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara Datuk Nur Jazlan Mohamed melihat Khazanah bertanggungjawab dalam isu kelewatan dan peningkatan kos projek KLIA2 serta perjanjian perkongsian antara Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia yang mengakibatkan masing-masing didenda RM10 juta.
Nur Jazlan berkata PAC akan menyiasat peranan jururunding dan bank saudagar dalam rundingan ini meskipun MAS dan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) adalah syarikat senarai awam tetapi pemegang saham terbesarnya adalah pengurus aset Khazanah. – 23 September, 2013.