Projek Amal Jariah : RM200 juta bantu baik pulih rumah rakyat miskin
Rabu, 10 Dec 2008
KUANTAN - Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan menetapkan sasaran membaik pulih 30,000 rumah milik rakyat termiskin di negara ini dalam tempoh dua tahun bermula tahun depan, menerusi Program Amal Jariah (PAJ). Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM100 juta bagi membiayai projek itu tahun depan dan berharap sektor swasta dapat memberi sumbangan tambahan RM100 juta lagi untuk memastikan sasaran 30,000 rumah terbabit Berjaya dilaksanakan.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, setakat ini, sudah ada maklum balas positif daripada sektor swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berminat menyertainya dan satu majlis penyerahan sumbangan mereka akan diadakan tidak lama lagi. Beliau berkata, PAJ yang diuruskan Prokhas Sdn Bhd (Prokhas) iaitu anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), adalah idea Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkan Bajet 2007.
"Saya kena bagi penghargaan kepada Perdana Menteri kerana projek ini hasil idea beliau yang meluluskan dana RM50 juta pada tahun ini, bagi membaik pulih 8,400 rumah golongan miskin. "Peruntukan itu ditambah RM100 juta tahun depan untuk membaiki 15,000 lagi rumah dan kita harap, sektor swasta dapat memberi tambahan RM100 juta lagi supaya jumlah yang dibaiki meningkat kepada 30,000 rumah.
"Bagi kita, tiada program lain yang lebih berkesan kepada rakyat selain program perumahan, sama ada rumah kos rendah, mampu milik, mesra rakyat atau PAJ ini.
"Sebenarnya, projek ini memberi kesan mendalam kepada rakyat miskin yang menerimanya kerana mereka akan teringat kepada jasa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang membaik pulih rumah yang usang itu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan PAJ peringkat kebangsaan dan menyerahkan sijil perakuan kepada 150 penerima bantuan projek berkenaan bagi daerah Kuantan dan Pekan, di sini semalam.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengarah Urusan Prokhas, Fazlur Rahman Ebrahim; Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan Pengarah Urusan Bank Islam Bhd, Daruk Zukri Samad.
Pelaksanaan PAJ mendapat kerjasama BSN dan Bank Islam apabila kakitangan mereka turut membantu Prokhas memantau kerja baik pulih serta menyelia program berkenaan.
Najib berkata, kerajaan tidak meletakkan tekanan kepada sektor swasta untuk terbabit dalam program itu, sebaliknya ia tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka berikutan program ini amat berkesan membantu rakyat miskin yang memiliki rumah sangat daif keadaannya.
Mengulas cadangan memindahkan penduduk terbabit ke projek perumahan kos rendah, Najib berkata, bilangan rumah itu tidak mencukupi untuk menampung jumlah mereka, selain penduduk yang enggan berpindah dan mahu terus tinggal di rumah sedia ada kerana hamper dengan tempat kerja.
"Jadi, kita buat program membaik pulih rumah ini sebagai sokongan dan ia juga member manfaat kepada mereka," katanya.
Sementara itu, ketika berucap, Najib berkata, kerajaan memahami kesusahan dialami rakyat miskin yang tinggal di rumah uzur dengan atap bocor dan lantai atau dinding yang reput dan itulah antara sebab projek PAJ dilaksanakan.
"Sehingga September lalu, 8,000 rumah sudah dibaik pulih dan akhir tahun ini, jumlah yang dibaiki meningkat kepada 8,400," katanya.