Media Coverage

Prokhas kumpul RM2.92 bilion tunai bagi pihak Danaharta

 

Khamis, 29 Apr 2010

PROKHAS Sdn Bhd mengumpul sejumlah RM2.92 bilion tunai bagi pihak Danaharta Nasional Bhd, dan menjangka dapat mengumpul RM650 juta lagi menjelang akhir 2011.

“Matlamat kami ialah untuk menukar semua aset yang berbaki kepada tunai dan memaksimumkan pungutan balik sebanyak mungkin,” kata Pengarah Urusannya, Fazlur Rahman Ebrahim.

“Kami berharap dapat mengumpul RM3.57 bilion tunai menjelang akhir 2011," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam. Prokhas, sebuah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan yang ditubuhkan pada Januari 2006, mengambil alih pengurusan semua aset berbaki Danaharta dan meneruskan penawaran tender yang dikendalikan syarikat pengurusan aset sebelumnya.

Ketua Jabatan Hartanya, Muhammad Solleh Ramli, berkata proses tender yang berjalan sekarang dari 5 April hingga 4 Mei menyaksikan lebih 350 pakej tender dijual kepada pembeli berpotensi dan ejen hartanah.

Penawaran tender oleh Prokhas membabitkan 114 harta termasuk hartanah jenis kediaman, perniagaan, pejabat, industri, pembangunan, pertanian dan komersial pada harga yang sangat berpatutan.

Selain proses tender, jualan berstruktur Prokhas juga merangkumi tiga jualan lelong yang diadakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Lelongan yang dijalankan di Pulau Pinang amat berjaya yang mana 17 daripada 19 hartanah dijual kepada pembida yang berjaya.

Muhammad Solleh berkata, walaupun lelongan di Johor tidak mendapat sambutan, namun dengan masih banyak hartanah yang tidak dijual, Prokhas akan menawarkan tender bagi hartanah itu pada jualan akan datang.

Berdasarkan jumlah pakej tender bagi hartanah pembangunan yang dijual, katanya, terdapat sambutan besar daripada pelabur hartanah berbanding pelabur individu.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai harta berkenaan dan senarai ejen hartanah, pembeli boleh melayari laman sesawang di www.prokhas.com.my atau menelefon nombor 03-20965116/5113/5115.