Prokhas teruskan penukaran harta danaharta kepada tunai
Wednesday, 28 April 2010
KUALA LUMPUR 28 April - Prokhas Sdn. Bhd. mengumpul sejumlah RM2.92 bilion tunai bagi pihak Danaharta Nasional Bhd, dan ia menjangka dapat mengumpul RM650 juta lagi menjelang akhir 2011.
"Matlamat di sini ialah untuk menukar semua aset yang berbaki kepada tunai dan memaksimumkan pungutan balik sebanyak mungkin," kata Pengarah Urusan Prokhas, Fazlur Rahman Ebrahim.
"Kami berharap dapat mengumpul RM3.57 bilion tunai menjelang akhir 2011," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Prokhas.
Prokhas, sebuah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan yang ditubuhkan pada Januari 2006, mengambil alih pengurusan semua aset berbaki Danaharta dan meneruskan penawaran tender yang dikendalikan oleh syarikat pengurusan aset sebelumnya.
Ketua Jabatan Hartanya, Muhammad Solleh Ramli berkata, proses tender yang berjalan sekarang dari 5 April hingga 4 Mei menyaksikan lebih 350 pakej tender dijual kepada pembeli berpotensi dan ejen hartanah setakat ini.
Penawaran tender oleh Prokhas melibatkan 114 harta termasuk harta jenis kediaman, perniagaan, pejabat, industri, pembangunan, pertanian dan komersial pada harga yang sangat berpatutan.
Selain proses tender, jualan berstruktur Prokhas juga merangkumi tiga jualan lelong yang diadakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Lelong yang dijalankan di Pulau Pinang amat berjaya di mana 17 daripada 19 harta dijual kepada pembida yang berjaya.
Muhammad Solleh berkata, walaupun lelong di Johor tidak mendapat sambutan yang baik, namun dengan masih banyak harta yang tidak dijual, Prokhas akan menawarkan tender bagi harta-harta itu pada jualan akan datang.
Berdasarkan jumlah pakej tender bagi harta-harta pembangunan yang dijual, katanya, terdapat sambutan besar daripada pelabur-pelabur harta berbanding pelabur individu. "Kami masih ada beberapa hari lagi sebelum menamatkan peringkat pertama.
Pembeli yang berminat dialu-alukan untuk membeli pakej tender daripada pejabat kami atau daripada 232 ejen hartanah kami di seluruh negara," kata Muhammad Solleh.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang harta berkenaan dan senarai ejen hartanah, pembeli boleh melayari laman sesawang di www.prokhas.com.my atau menelefon nombor 03- 20965116/5113/5115.