Media Coverage

Tangguh Bayaran Balik Pinjaman Beri Ruang Bernafas

 

Selasa, 20 Jan 2015

KUALA LUMPUR - Inisiatif beberapa institusi perbankan menangguhkan pembayaran balik pinjaman sehingga enam bulan untuk peniaga yang terjejas banjir mampu memberi ruang kepada mereka menguruskan semula perniagaan.

Timbalan Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (SMIA), Michael Kang berkata langkah itu menunjukkan keprihatinan mereka terhadap nasib peniaga yang kehilangan punca pendapatan akibat bencana banjir Disember lepas.

"Ini merupakan satu langkah yang memang diharapkan peniaga-peniaga (yang terjejas banjir)," katanya kepada Bernama.

Berkongsi pendapat sama, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah berkata penangguhan bayaran balik pinjaman itu mampu meringankan beban peniaga dan peruncit yang bukan sahaja kerugian perniagaan tetapi juga kehilangan aset lain.

"Mereka bukan sahaja kehilangan premis dan barangan perniagaan malah dibelenggu kerosakan rumah dan harta benda lain," katanya.

Dalam perutusan khas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Bank Simpanan Nasional, Agrobank, SME Bank, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan menangguhkan tempoh bayaran balik pinjaman yang telah diambil sehingga enam bulan bagi peniaga yang terjejas banjir.

Ditanya mengenai bantuan pinjaman tambahan melalui Tekun Nasional dan AIM, masing- masing sebanyak RM100 juta, Mohd Ridzuan berkata ia harus diberi secara telus dan kerajaan perlu memantau bagi memastikan pinjaman sampai kepada golongan sasar.

"Kerajaan perlu teliti dan senaraikan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan ini supaya tidak berlaku penyelewengan dalam pemberian bantuan dan sampai kepada peniaga yang sepatutnya," katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai pembiayaan pinjaman dengan kadar faedah lebih rendah yang ditawarkan kepada peniaga terjejas banjir, Mohd Ridzuan berkata ia juga langkah terbaik bagi membantu peniaga menguruskan kembali perniagaan mereka.

Namun katanya institusi perbankan yang berkenaan harus memberi kelulusan pada kadar segera dan tidak mengambil kesempatan atas kesusahan yang dialami peniaga ketika ini.

Dalam perutusan khas itu Najib turut mengumumkan Bank Negara akan menubuhkan Kemudahan Bantuan Khas berjumlah RM500 juta untuk menyediakan pembiayaan pinjaman SME pada kadar 2.25 peratus dengan penangguhan tempoh bayaran balik pinjaman sehingga enam bulan.

Beliau juga mengumumkan Bank Rakyat menawarkan Skim Pinjaman Peribadi sehingga RM50,000 pada kadar pembiayaan serendah 3.9 peratus untuk penduduk terjejas banjir dan bayaran balik pinjaman selepas enam bulan daripada tarikh pengeluaran.

Sebanyak RM500 juta turut disediakan oleh institusi kewangan dengan jaminan pembiayaan sebanyak 70 peratus di bawah Skim Jaminan Pinjaman Bantuan Banjir.

Skim diuruskan oleh Prokhas. – Bernama